06 Oktober 2008

Ma'at Taufiq Wan Najah

Genap seminggu warga SAM Sungai Merab Luar bercuti sempena Aidilfitri, para pelajar tingkatan 4 akan menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi tahun ini yang bermula pada hari Isnin, 6/10/2008 hingga Khamis, 9/10/2008.

Calon yang menduduki peperiksaan ini dianggarkan seramai 64 orang. Ini kerana ada beberapa calon yang telah mendaftarkan diri untuk peperiksaan ini telah berpindah ke sekolah lain, namun nama mereka telah didaftarkan di sekolah ini.

Buat semua calon Peperiksaan SMA, walaupun bahang dan kehangatan Aidilfitri masih lagi terasa, jangan jadikan ianya sebagai penghalang untuk anda mencipta kejayaan dan hadapilah peperiksaan ini dengan tenang, matang dan bijaksana.

Doa dan harapan seluruh warga SAMSMEL buat semua calon Peperiksaan SMA yang merupakan perintis kepada Peperiksaan ini disebabkan telah 3 tahun sekolah ini tiada Peperiksaan SMA kerana tiada pelajar tingkatan 4. Berjuanglah habis-habisan dan buatlah yang terbaik untuk diri anda dan nama baik SAMSMEL. Bittaufiq Wan Najah.

03 Oktober 2008

Selamat Pengantin Baru Cikgu Rifaiza

Siapa tak kenal Cikgu Rifaiza atau nama glamournya Cikgu Peja. Telatah dan gurauan cikgu yang berasal daripada Kelantan ini sering membuatkan kami ketawa dan cukup senang hati dengan perwatakannya. Di usia 28 tahun beliau telah menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihannya, Nor Saliza binti Mat Zain yang juga merupakan anak jati Kelantan.

Majlis akad nikah dan walimatul urus diadakan di rumah pengantin perempuan yang terletak di Pasir Mas pada Hari Raya ke 3 dan majlis kenduri sebelah pengantin lelaki pula diadakan di Kuala Kerai pada Hari Raya ke 4. Suasana Aidilfitri nampaknya semakin meriah dengan berlangsungnya majlis perkahwinan 2 mempelai ini.

Doa daripada seluruh warga SAMSMEL semoga kedua-dua pasangan beroleh kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir usia mereka, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan sentiasa diberkati Allah SWT hendaknya.




01 Oktober 2008

Salam Aidilfitrti Dari Kami

Ramadhan sudah berlalu pergi, kini Syawal menjelang lagi. Di hari dan bulan yang baik ini, marilah kita bermaaf-maafan dan saling menziarahi sesama saudara, sahabat dan rakan-rakan.

Dikesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga segala kesalahan sepanjang perkenalan dimaafkan dan tiada lagi noda dan dosa yang masih dalam ingatan. Semoga perkenalan kita diberkati Allah SWT hendaknya. Jadikanlah segala cabaran dan halangan sepanjang kehidupan ini sebagai pendorong untuk kita membina kecemerlangan. Jangan mudah tewas dengan segala dugaan ini. Ingatlah, Allah bersama-sama dengan mereka yang cekal, sabar dan tabah serta sentiasa berusaha mencipta kejayaan dan kecemerlangan.


03 Ogos 2008

Program Restu Ibu Bapa & Guru PMR / SMA 08

Tarikh 3 Ogos 2008 merupakan tarikh bermakna dan bersejarah buat warga SAMSMEL khususnya bagi calon-calon peperiksaan PMR dan SMA 2008. Bertempat di Dewan bangunan baru sekolah, calon-calon ini dikumpulkan bagi menjayakan program yang dinamakan " Majlis Restu Ibu Bapa & Guru, Di Ambang Peperiksaan PMR & SMA Tahun 2008 ". Peserta program ini bukan setakat calon-calon peperiksaan dan guru-guru, malah ibu bapa serta penjaga pelajar yang terlibat juga turut hadir menjayakan program ini.

Majlis dimulakan agak lewat sedikit kerana menantikan kehadiran ibu bapa serta penjaga pelajar. Lebih kurang jam 3 petang majlis dapat dimulakan dengan kehadiran yang menggalakkan. Majlis dikendalikan oleh 2 orang pengerusi iaitu Cikgu Rifaiza dan Cikgu S Falinda. Pengetua sekolah memulakan ucapan dengan mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan berharap program ini bakal memberi input yang berfaedah buat ibu bapa dan pelajar. Selesai ucapan Pengetua, Tuan Haji Badaruddin selaku YDP PIBG sekolah mengambil tempat dan memulakan ucapan yang sungguh bertenaga. Beliau berjaya menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar juga ibubapa mereka agar kejayaan tahun 2007 dapat diulangi bukan setakat kejayaan yang membanggakan, bahkan lebih daripada itu.

Majlis kemudiaannya disambung dengan Ceramah Keibubapaan yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Mohammad Asri bin Abdullah daripada SMK Victoria, Kuala Lumpur. Ustaz Asri memulakan ceramah dengan alunan zikir dan nasyid. Beliau berjaya membangkitkan rasa keinsafan dan kesedaran daripada para pelajar dan beliau berjaya mencungkil isi hati beberapa orang pelajar tentang realiti diri mereka dan persediaan mereka menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Walaupun tempoh ceramah agak panjang namun dengan pelbagai input yang diberikan, pelajar dan ibubapa tidak berganjak walau sedikit pun dari tempat duduk mereka.

Dihujung sesi ceramah, Ustaz Asri meminta para pelajar menjemput ibubapa mereka untuk duduk bersama-sama mereka dihadapan. Sambil berpegang tangan, mereka berzikir dan mengalunkan nasyid yang dapat menimbulkan rasa keinsafan dan kasih sayang sesama mereka. Suasana agak sebak apabila para pelajar memeluk ibubapa mereka dengan menyatakan kemaafan dan memohon restu sebagai bekalan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang. Suasana sedih ditambahkan lagi dengan tayangan video proses kelahiran sebagai memberikan pengajaran, betapa sukarnya ibu melahirkan anak.

Moga-moga segala input daripada isi ceramah, zikir, nasyid, slaid dan tayangan video berjaya mengetuk hati para pelajar ini agak lebih mengenang jasa dan pengorbanan ibubapa serta guru, juga dapat mengetuk hati mereka agar meningkatkan persediaan ke tahap maksimum demi peperiksaan yang bakal tiba iaitu pada 11-15 Ogos ini (Peperiksaan Percubaan) dan peperiksaan sebenar tidak lama lagi. Jadikanlah kenangan hari ini sebagai penggerak untuk mencetuskan kejayaan yang luar biasa bagi tahun 2008. Insya Allah ...

30 Julai 2008

Sambutan Israk Mikraj

Israk ialah perjalanan Rasulullah SAW di malam hari menaiki Burak iaitu satu kenderaan dari syurga. Perjalanan tersebut bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis (Palestin). Manakala Mikraj ialah naik ke langit dari Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa) hingga ke Sidratul Munhata.

Peristiwa besar ini merupakan peristiwa yang penuh dengan pengajaran dalam pembentukan jati diri muslim. Diantara perkara utama yang berlaku ialah persinggahan Nabi di Masjidil Aqsa sebelum dimikrajkan ke Sidratul Muntaha.

Justeru sebagai memperingati peristiwa bersejarah ini, SAM Sungai Merab Luar telah mengadakan majlis ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Abdul Hakam bin Jaaf. Beliau merupakan seorang penceramah bebas yang berkhidmat sebagai penterjemah di Pustaka Salam Sdn. Bhd. Beliau juga adalah seorang Perunding Aman Palestin dan Penceramah Isu-isu Palestin.

Majlis sambutan ini diadakan pada hari Rabu, 30 Julai 2008 di Dewan Serbaguna yang terletak di tingkat 2, bangunan baru SAM Sungai Merab Luar. Walaupun para hadirin terpaksa duduk di atas tikar, namun mereka dapat memberikan tumpuan pada ceramah yang disampaikan dan mendapat pelbagai input berguna selaku seorang warga Malaysia dan seorang muslim.

21 Julai 2008

Kelas Asas Pembinaan Blog

Blog adalah sebuah laman web pilihan ramai yang merupakan medium untuk menyampaikan pelbagai maklumat secara online. Blog juga boleh dikategorikan sebagai online journal atau diari online.

Pada tahun 2008 ini, para pelajar SAMSMEL tidak ketinggalan dalam arus teknologi semasa dan mereka juga telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran ICT. Dimulakan dengan para pelajar Tingkatan 4, Unit ICT telah mengadakan kelas asas pembinaan blog ini bagi memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran ICT sedia ada. Berikut adalah antara hasil blog yang telah berjaya dibina oleh para pelajar Tingkatan 4 :
Sekiranya anda juga seorang blogger, layarilah blog mereka dan berilah komen yang membina. Ingat, mereka baru belajar. Bimbinglah mereka dengan betul. :-)

16 Julai 2008

Pra Percubaan PMR & SMA

Peperiksaan PMR dan SMA bakal dihadapi oleh para pelajar Tingkatan 3 dan 4 tidak lama lagi. Nampaknya pelbagai usaha telah dilakukan sebagai persediaan menghadapi dua peperiksaan besar tersebut. Antaranya seminar motivasi dan sebagainya.

Sebagai persediaan sebelum menghadapi Peperiksaan Percubaan pada 11-14 Ogos nanti, para pelajar Tingkatan 3 dan 4 akan diuji dengan Peperiksaan Pra Percubaan terlebih dahulu yang akan dijalankan pada 28 Julai hingga 1 Ogos nanti.

Buat semua pelajar Tingkatan 3 dan 4 tahun 2008 ini, semoga berjaya menghadapi semua Ujian dan Peperiksaan yang dihadapi.