06 Oktober 2008

Ma'at Taufiq Wan Najah

Genap seminggu warga SAM Sungai Merab Luar bercuti sempena Aidilfitri, para pelajar tingkatan 4 akan menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi tahun ini yang bermula pada hari Isnin, 6/10/2008 hingga Khamis, 9/10/2008.

Calon yang menduduki peperiksaan ini dianggarkan seramai 64 orang. Ini kerana ada beberapa calon yang telah mendaftarkan diri untuk peperiksaan ini telah berpindah ke sekolah lain, namun nama mereka telah didaftarkan di sekolah ini.

Buat semua calon Peperiksaan SMA, walaupun bahang dan kehangatan Aidilfitri masih lagi terasa, jangan jadikan ianya sebagai penghalang untuk anda mencipta kejayaan dan hadapilah peperiksaan ini dengan tenang, matang dan bijaksana.

Doa dan harapan seluruh warga SAMSMEL buat semua calon Peperiksaan SMA yang merupakan perintis kepada Peperiksaan ini disebabkan telah 3 tahun sekolah ini tiada Peperiksaan SMA kerana tiada pelajar tingkatan 4. Berjuanglah habis-habisan dan buatlah yang terbaik untuk diri anda dan nama baik SAMSMEL. Bittaufiq Wan Najah.

03 Oktober 2008

Selamat Pengantin Baru Cikgu Rifaiza

Siapa tak kenal Cikgu Rifaiza atau nama glamournya Cikgu Peja. Telatah dan gurauan cikgu yang berasal daripada Kelantan ini sering membuatkan kami ketawa dan cukup senang hati dengan perwatakannya. Di usia 28 tahun beliau telah menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihannya, Nor Saliza binti Mat Zain yang juga merupakan anak jati Kelantan.

Majlis akad nikah dan walimatul urus diadakan di rumah pengantin perempuan yang terletak di Pasir Mas pada Hari Raya ke 3 dan majlis kenduri sebelah pengantin lelaki pula diadakan di Kuala Kerai pada Hari Raya ke 4. Suasana Aidilfitri nampaknya semakin meriah dengan berlangsungnya majlis perkahwinan 2 mempelai ini.

Doa daripada seluruh warga SAMSMEL semoga kedua-dua pasangan beroleh kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir usia mereka, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan sentiasa diberkati Allah SWT hendaknya.




01 Oktober 2008

Salam Aidilfitrti Dari Kami

Ramadhan sudah berlalu pergi, kini Syawal menjelang lagi. Di hari dan bulan yang baik ini, marilah kita bermaaf-maafan dan saling menziarahi sesama saudara, sahabat dan rakan-rakan.

Dikesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga segala kesalahan sepanjang perkenalan dimaafkan dan tiada lagi noda dan dosa yang masih dalam ingatan. Semoga perkenalan kita diberkati Allah SWT hendaknya. Jadikanlah segala cabaran dan halangan sepanjang kehidupan ini sebagai pendorong untuk kita membina kecemerlangan. Jangan mudah tewas dengan segala dugaan ini. Ingatlah, Allah bersama-sama dengan mereka yang cekal, sabar dan tabah serta sentiasa berusaha mencipta kejayaan dan kecemerlangan.


03 Ogos 2008

Program Restu Ibu Bapa & Guru PMR / SMA 08

Tarikh 3 Ogos 2008 merupakan tarikh bermakna dan bersejarah buat warga SAMSMEL khususnya bagi calon-calon peperiksaan PMR dan SMA 2008. Bertempat di Dewan bangunan baru sekolah, calon-calon ini dikumpulkan bagi menjayakan program yang dinamakan " Majlis Restu Ibu Bapa & Guru, Di Ambang Peperiksaan PMR & SMA Tahun 2008 ". Peserta program ini bukan setakat calon-calon peperiksaan dan guru-guru, malah ibu bapa serta penjaga pelajar yang terlibat juga turut hadir menjayakan program ini.

Majlis dimulakan agak lewat sedikit kerana menantikan kehadiran ibu bapa serta penjaga pelajar. Lebih kurang jam 3 petang majlis dapat dimulakan dengan kehadiran yang menggalakkan. Majlis dikendalikan oleh 2 orang pengerusi iaitu Cikgu Rifaiza dan Cikgu S Falinda. Pengetua sekolah memulakan ucapan dengan mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan berharap program ini bakal memberi input yang berfaedah buat ibu bapa dan pelajar. Selesai ucapan Pengetua, Tuan Haji Badaruddin selaku YDP PIBG sekolah mengambil tempat dan memulakan ucapan yang sungguh bertenaga. Beliau berjaya menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar juga ibubapa mereka agar kejayaan tahun 2007 dapat diulangi bukan setakat kejayaan yang membanggakan, bahkan lebih daripada itu.

Majlis kemudiaannya disambung dengan Ceramah Keibubapaan yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Mohammad Asri bin Abdullah daripada SMK Victoria, Kuala Lumpur. Ustaz Asri memulakan ceramah dengan alunan zikir dan nasyid. Beliau berjaya membangkitkan rasa keinsafan dan kesedaran daripada para pelajar dan beliau berjaya mencungkil isi hati beberapa orang pelajar tentang realiti diri mereka dan persediaan mereka menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Walaupun tempoh ceramah agak panjang namun dengan pelbagai input yang diberikan, pelajar dan ibubapa tidak berganjak walau sedikit pun dari tempat duduk mereka.

Dihujung sesi ceramah, Ustaz Asri meminta para pelajar menjemput ibubapa mereka untuk duduk bersama-sama mereka dihadapan. Sambil berpegang tangan, mereka berzikir dan mengalunkan nasyid yang dapat menimbulkan rasa keinsafan dan kasih sayang sesama mereka. Suasana agak sebak apabila para pelajar memeluk ibubapa mereka dengan menyatakan kemaafan dan memohon restu sebagai bekalan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang. Suasana sedih ditambahkan lagi dengan tayangan video proses kelahiran sebagai memberikan pengajaran, betapa sukarnya ibu melahirkan anak.

Moga-moga segala input daripada isi ceramah, zikir, nasyid, slaid dan tayangan video berjaya mengetuk hati para pelajar ini agak lebih mengenang jasa dan pengorbanan ibubapa serta guru, juga dapat mengetuk hati mereka agar meningkatkan persediaan ke tahap maksimum demi peperiksaan yang bakal tiba iaitu pada 11-15 Ogos ini (Peperiksaan Percubaan) dan peperiksaan sebenar tidak lama lagi. Jadikanlah kenangan hari ini sebagai penggerak untuk mencetuskan kejayaan yang luar biasa bagi tahun 2008. Insya Allah ...

30 Julai 2008

Sambutan Israk Mikraj

Israk ialah perjalanan Rasulullah SAW di malam hari menaiki Burak iaitu satu kenderaan dari syurga. Perjalanan tersebut bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis (Palestin). Manakala Mikraj ialah naik ke langit dari Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa) hingga ke Sidratul Munhata.

Peristiwa besar ini merupakan peristiwa yang penuh dengan pengajaran dalam pembentukan jati diri muslim. Diantara perkara utama yang berlaku ialah persinggahan Nabi di Masjidil Aqsa sebelum dimikrajkan ke Sidratul Muntaha.

Justeru sebagai memperingati peristiwa bersejarah ini, SAM Sungai Merab Luar telah mengadakan majlis ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Abdul Hakam bin Jaaf. Beliau merupakan seorang penceramah bebas yang berkhidmat sebagai penterjemah di Pustaka Salam Sdn. Bhd. Beliau juga adalah seorang Perunding Aman Palestin dan Penceramah Isu-isu Palestin.

Majlis sambutan ini diadakan pada hari Rabu, 30 Julai 2008 di Dewan Serbaguna yang terletak di tingkat 2, bangunan baru SAM Sungai Merab Luar. Walaupun para hadirin terpaksa duduk di atas tikar, namun mereka dapat memberikan tumpuan pada ceramah yang disampaikan dan mendapat pelbagai input berguna selaku seorang warga Malaysia dan seorang muslim.

21 Julai 2008

Kelas Asas Pembinaan Blog

Blog adalah sebuah laman web pilihan ramai yang merupakan medium untuk menyampaikan pelbagai maklumat secara online. Blog juga boleh dikategorikan sebagai online journal atau diari online.

Pada tahun 2008 ini, para pelajar SAMSMEL tidak ketinggalan dalam arus teknologi semasa dan mereka juga telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran ICT. Dimulakan dengan para pelajar Tingkatan 4, Unit ICT telah mengadakan kelas asas pembinaan blog ini bagi memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran ICT sedia ada. Berikut adalah antara hasil blog yang telah berjaya dibina oleh para pelajar Tingkatan 4 :
Sekiranya anda juga seorang blogger, layarilah blog mereka dan berilah komen yang membina. Ingat, mereka baru belajar. Bimbinglah mereka dengan betul. :-)

16 Julai 2008

Pra Percubaan PMR & SMA

Peperiksaan PMR dan SMA bakal dihadapi oleh para pelajar Tingkatan 3 dan 4 tidak lama lagi. Nampaknya pelbagai usaha telah dilakukan sebagai persediaan menghadapi dua peperiksaan besar tersebut. Antaranya seminar motivasi dan sebagainya.

Sebagai persediaan sebelum menghadapi Peperiksaan Percubaan pada 11-14 Ogos nanti, para pelajar Tingkatan 3 dan 4 akan diuji dengan Peperiksaan Pra Percubaan terlebih dahulu yang akan dijalankan pada 28 Julai hingga 1 Ogos nanti.

Buat semua pelajar Tingkatan 3 dan 4 tahun 2008 ini, semoga berjaya menghadapi semua Ujian dan Peperiksaan yang dihadapi.

29 Jun 2008

Kursus Asas Sembelihan

Isu halal haram adalah suatu perkara yang sangat penting, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan seharian kita. Banyak kejadian baru-baru ini yang mengetengahkan kes penyembelihan yang tidak menepati kehendak syara' seperti penyembelihan ayam untuk tujuan komersial dan perniagaan. Justeru, berdasarkan kesedaran atas masalah ini Panitia Pendidikan Islam dengan bantuan 3 orang Guru Pelatih daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan dengan kerjasama dengan Pejabat Islam Daerah Sepang telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Asas Sembelihan pada 28 Jun 2008 bagi para pelajar Tingkatan 4.

Kursus tersebut dimulakan seawal 8.30 pagi bertempat di Surau Al-Azhar, SAM Sungai Merab Luar. Kursus dimulakan dengan ucapan pengerusi dan ucapan perasmian oleh Ustaz Yaziz bin Kasran, GPK Akademik yang baru. Pengisian kursus disampaikan oleh Ustaz Ismail bin Mislan, penceramah jemputan yang dijemput khas oleh Unit Dakwah, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang.

Selesai jamuan minum pagi, peserta kursus berhimpun di luar surau bagi sesi amali. Peserta kursus dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki mempraktikkan teknik penyembelihan yang telah dipelajari semasa sesi teori di awal kursus tadi.

Berbagai gelagat yang mencuit hati dilakukan oleh para peserta kursus tersebut semasa menyembelih ayam. Ada yang berani dan ada pula yang agak ragu-ragu semasa menyembelih. Mujurlah tidak ada seekor ayam pun yang tidak berjaya disembelih dengan betul dan semuanya halal untuk dimakan.

Pada sebelah petangnya pula, para peserta bergotong-royong membersihkan ayam-ayam tersebut, memotong dan menggorengnya beramai-ramai di kantin sekolah. Selesai menggoreng, mereka beramai-ramai menjamu selera dengan ayam goreng hasil penyembelihan pagi tadi. Alhamdulillah, kursus ini berjalan lancar dan para peserta berpuas hati serta mendapat pelbagai input yang berguna dan berfaedah.

20 Jun 2008

Program Menandatangani Kad Kemajuan

Tarikh : 20 Jun 2008 (Jumaat)
Masa : 8.00 pagi - 12.30 tengahari
Tempat : Di kelas masing-masing

Hari ini antara hari terbuka SAMSMEL dimana para ibubapa dan penjaga pelajar dijemput hadir untuk mengambil kad kemajuan prestasi anak masing-masing. Selain itu, objektif hari terbuka juga bagi membuka ruang interaksi antara ibubapa pelajar dengan guru-guru bagi membincangkan prestasi akademik anak-anak mereka.

17 Mei 2008

Sambutan Hari Guru 2008

"Guru Cemerlang Negara Terbilang" begitulah tema sambutan Hari Guru bagi tahun ini. Pada tahun ini sambutan Hari Guru peringkat sekolah agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Majlis sambutan yang diadakan sepenuhnya secara indoor bermula seawal 8.30 pagi di Dewan Serbaguna SAM Sungai Merab Luar. Majlis sambutan secara sederhana ini dimeriahkan dengan ucapan Pengetua SAM Sungai Merab Luar, Puan Hajjah Noor Hiyati binti Othaman dan diiringi dengan beberapa buah persembahan daripada guru dan para pelajar yang sangat menarik.

Pada sebelah tengaharinya pula, sambutan Hari Guru diteruskan dengan ceramah khas mengenali perjuangan para mujahid dan penduduk Palestin yang ditindas kejam oleh pemerintahan tentera Zionis sejak bertahun lamanya. Ceramah yang disampaikan dengan penuh semangat ini berjaya menanamkan semangat jihad dan simpati terhadap penduduk Palestin yang saban hari ditimpa musibah.

Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini memberikan seribu satu pengertian yang bermakna buat para pendidik khasnya dalam memartabatkan profesion keguruan dan para pelajar amnya dalam mencapai wawasan pendidikan, menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

30 April 2008

Salam Perpisahan Buat Ustazah Eshah

Tanggal 30 April 2008 adalah hari terakhir buat Puan Hajah Siti Eshah binti Hanafi, selaku Guru Penolong Kanan 1 yang bertanggungjawab dalam urusan akademik di SAM Sungai Merab Luar. Beliau telah berkhidmat lama di sekolah ini. Beliau akan berpindah ke SAM Pasir Panjang dan meneruskan khidmat beliau sebagai pendidikan di sana.

Majlis dimulakan dengan perhimpunan pelajar di Dataran SAMSMEL lebih kurang jam 11.45 pagi. Ucapan yang menyayat hati daripada Puan Hajah Siti Eshah atau lebih dikenali dengan Ustazah Eshah membuatkan ratusan pelajar agak sunyi sepi dan ada yang hampir-hampir menitiskan air mata. Beliau juga telah memberikan beberapa amanat buat rakan-rakan seperjuangan dan anak-anak didik yang bakal ditinggalkan.

Selesai ucapan, pasukan kawat yang terdiri daripada ahli Kadet Bomba dan ahli Kadet Remaja Sekolah membuat persembahan kawat mereka. Para pelajar dihiburkan dengan beberapa gelagat peserta kawat yang mencuit hati namun persembahan tersebut disempurnakan dengan penuh bersemangat.

Selesai acara kawat, para pelajar bersurai dan guru-guru menuju ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan makan tengahari sambil diadakan majlis perpisahan secara ringkas diantara semasa guru dan kakitangan sekolah. Sambil guru-guru menikmati jamuan makan tengahari, mereka dihiburkan dengan dendangan nasyid secara santai daripada kumpulan nasyid sekolah.

Buat Ustazah Eshah yang tercinta, segala jasa dan pengorbananmu takkan kami lupakan. Nasihat dan tunjuk ajarmu kami ucapkan jutaan terima kasih. Hanya Allah yang mampu memberikan sebaik-baik ganjaran. Doakan semoga kami di SAMSMEL ini akan terus mencipta nama dan kegemilangan buat sekolah yang tercinta. Salam perpisahan buat Ustazah Eshah.

16 Mac 2008

Ahlan wa sahlan

Selamat datang ke Blog SAM Sungai Merab Luar. Blog ini dibina sebagai persediaan awal untuk menerima dan mengumpulkan pendapat, cadangan dan idea menarik daripada semua pengunjung laman web SAMSMEL sebelum dibina web komuniti yang lebih mantap dan menarik. Jadi sudah terlanjur anda melawati blog ini, sila berikan sebarang pendapat, cadangan atau idea yang menarik bagi pembinaan laman web SAMSMEL dan web komuniti pelajar SAMSMEL. Segala kerjasama anda diucapkan jazakumullahu khairan kathiran.